Sunday, March 11, 2012

Warkah Cinta : Mencari yang halal itu impian




Assalamualaikum saudara ajnabi ,

Hari ini alhamdulillah Allah masih memberikan saya peluang untuk bernafas agar saya dapat membantu rakan rakan. Walaupun diri ini tidaklah sesempurna mana , tetapi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi peringatan , berdakwah , berjihad di jalan buah hati saya iaitu Allah SWT. Dan awak. Ya awak. Salam ukhwah dan perkenalan daripada saya. Awak lelaki ajnabi. Ada yang saya kenal dan ada yang saya tidak kenal. Tetapi panggilannya tetap sama. Lelaki ajnabi. Lelaki asing. Lelaki asing yang dalam kalangan mereka bakal menjadikan saya sebagai bidadarinya di dunia. Lelaki asing yang dalam kalangan mereka bakal mendoakan saya menjadi bidadari mereka di syurga kelak. Amiin.

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia. Saya juga begitu awak. Saya juga mahu mencintai dan dicintai. Saya juga mahu melayari bahtera cinta yang diagung agungkan itu. Saya juga mahu merasakan bertapa hebatnya kuasa cinta yang dikatakan teman teman sehingga dapat memusnahkan batu hanya dengan renungan mata pasangan yang bercinta. Saya juga mahu itu semua. Tetapi semuanya ada syarat. Cinta pasti bersyarat. Jangan percaya akan cinta yang tidak bersyarat. Saya tahu awak pasti tahu. Tahu yang nikah itu syaratnya.

Mungkin ada yang tertanya. Mungkin awak juga mahu bertanya. Bagaimana nak hidup kalau tidak bercinta dan bercinta hanya selepas syarat nikah tertunai ? Tidak rasa keseorangankah ? Tidak rasa kolotkah ? Fitrah manusia untuk berkata demikian. Hidup mereka dan mungkin juga hidup awak diselubungi cinta kepada lelaki / perempuan ajnabi. Cinta yang berlandaskan nafsu. I love you. You love me. Berdakapan. Berciuman. Itukah kepuasan cinta yang dicari ? Jangan risau. Saya juga sedang merasai kepuasan cinta walaupun hidup tidak bercinta sama lelaki ajnabi. Tetapi saya tetap puas. Puas kerana dicintai buah hati yang senantiasa memakbulkan permintaan saya. Puas kerana dicintai buah hati yang sering memaafkan saya pabila saya meminta ampun atas kesalahan saya. Puas kerana dicintai buah hati yang senantiasa tidak jemu menurunkan rahmatNya kepada saya. Saya mahu sangat tahu , adakah awak punya buah hati seperti Dia ? Adakah awak sudah meletakkan Dia sebagai buah hati awak yang pertama ? Awak kenal Dia ? Ya , Dialah Allah SWT. Pencipta kita awak.

"Dan Dialah (Allah) yang Maha Kuasa di atas hamba-hamba-Nya". 

( Surah Al-An'am ; ayat 18 )

Tidak ketinggalan , saya juga dicintai sepasang merpati dua sejoli yang begitu banyak berkorban demi kebahagiaan dan masa depan saya. Mereka sanggup mengetepikan masa depan mereka demi saya. Jasa mereka terlalu besar awak. Tidak terbalas oleh saya jasa mereka itu. Rindu saya kepada mereka tidak pernah putus dan begitu juga mereka. Kasih dan sayang saya ibarat air yang mengalir tiada hentinya dan seperti seluas lautan kerana tidak terhitung banyaknya. Saya tidak tahu adakah awak dapat mencintai saya seperti mereka mencintai saya. Dan sudahkah awak menjadikan raja dan permaisuri awak pula sebagai permata di dalam hati awak ? Bonda dan ayahanda saya pasti tidak akan menyerahkan saya kepada lelaki yang tidak mengasihi ibu bapa mereka kerana di situlah letaknya bukti kasih dan cinta awak kepada saya kelak andai saya menjadi yang halal buat awak.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

( Syrah Luqman ; ayat 14 )

Saya tahu saya juga tidak sempurna untuk mencari yang sempurna. Namun begitu saya tidaklah mencari yang sempurna. Cukuplah saya tahu si dia boleh membimbing saya ke jalanNya. Kalau awak hensem mahupun terkenal di Facebook mahupun Twitter, saya minta maaf bukan itu yang saya cari awak. Saya ingin seseorang yang menjanjikan bahagia di dunia dan di akhirat. Seseorang yang kenal erti Islam. Seseorang yang mahu mengajak saya lebih lebih mencintai Allah SWT iaitu buah hati kita. Kerana saya yang masih tidak sempurnalah , kerana itu saya mahu lelaki yang halal nanti dapat mengajak saya mencari kesempurnaan di mata Tuhan yang satu , Allah. Kerana saya yang jahil inilah , kerana itu saya mahu lelaki yang halal ini dapat membentuk saya keluar daripada kejahilan itu. Itulah impian saya. Mengimpikan seseorang yang dapat mencintai saya kerana Allah. 

Saya cuba untuk jadi yang terbaik untuk si dia yang halal.

Saya redha dengan apa apa yang Allah dah tetapkan untuk saya.

Saya faham Allah juga telah berfirman ;

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” 

( Surah an-Nur' ; ayat 26 )

Saya bukanlah sangat baik. Saya sedar. Banyak sungguh kekurangan diri. Saya tahu tinggi sungguh harapan untuk memiliki seorang suami soleh yang dapat membimbing diri ini tetapi sebagai manusia biasa , untuk mempunyai azam dan impian sebegitu tidak salah bukan ? Kebiasaannya kalau kita mempunyai sesuatu azam dan impian yang meninggi pasti kita akan berusaha untuk mengejar impian dan azam itu bukan ? Begitu juga saya. Akan cuba memperbaiki diri dari hari ke hari agar saya dapat mengecapi impian itu :)

Saya tahu andai awak yang dicari , awak pasti tidak pernah lupa janji Allah iaitu ;

Wahai hamba-hambaku ! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. ( Mereka itu ialah ) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami , serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh. ( Mereka diberi sebaik baik balasan dengan dikatakan kepada mereka ): “ Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan ” 

( Surah al-Dzukhruf ; 68 - 70 )

Pasti kita berjumpa di syurga kelak. Amiin.

----------------------------------------------------

p/s : Minggu pertama pembelajaran semester baru sememangnya mendekatkan diri ini ke arah zon bosan.

p/s 2 : Marilah kita bercinta sampai ke Syurga :')

3 umat prihatin:

secret roses said...

InsyaAllah , comelnya Tina :')

Semoga berjumpa cek abang yang dapat membimbing Tina. Amiiin.

♫♪~Naurah_Nawwarah ~ ♫♪ said...

ya... smue inginkan yg smpurna tapi tak sedar lagi kekurangan yg diri sndri ada .. :D

MissThe3Dara said...

secret roses - Masha Allah , tak comel mana pun. Hehe.
Insya Allah. Doakan ya :)

♫♪~Naurah_Nawwarah ~ ♫♪ - Ya , tetapi jangan risau , pasangan kitalah yang akan melengkapi kekurangan diri kita :)

Copyright© All Rights Reserved Thethreedara.blogspot.com